Friday, December 18, 2015

EX NIHILO NIHILO FIT Part 8

Buat sementara ini, kita tinggalkan kisah dongeng tentang Zoltan, rakan-rakan Zoltan dan kasta Elite tu dulu yer. Kewujudan mereka sebenarnya bukanlah suatu yang patut kita bimbangkan sangat. Suatu hari nanti, mereka akan melingkup jugak. Mereka terlalu angkuh dengan menyangka perancangan mereka lebih hebat daripada perancangan Pencipta alam ini.

Sekarang mari kita lihat hal yang ini...

Secara fitrah manusia mempunyai sifat ingin mengetahui. Bak kata Aristotle, “All men by nature desire to know”. Maka persoalannya... apakah yang dimaksudkan dengan ‘know’ atau ‘mengetahui’? Macam mana kita boleh isytihar diri kita sebagai mengetahui tentang sesuatu itu? Di sinilah timbul satu cabang pengajian yang dinamakan Epistemologi (Epistemology). Istilah Epistemology dikatakan datang daripada perkataan Greek... Episteme (Pengetahuan) dan suffix Ology (Pengajian). Justeru timbul la istilah Epistemology. Setakat ini, sistem pendidikan kita masih belum memasukkan cabang ilmu ini secara khusus di dalam kurikulum pembelajaran kita. Mengapa? Tidakkah kita suka kalau semua orang termasuk anak-anak dan generasi muda kita mempunyai kemahiran berfikir? Tidakkah kita suka kalau semua orang sentiasa usul periksa terlebih dahulu sebelum mempercayai sesuatu? Masih ingatkah kita dengan apa yang dibincangkan di dalam Part 4? Perbuatan memproses maklumat dengan kaedah tertentu untuk untuk sekadar mendapat ‘output’ adalah tidak sama dengan perbuatan berfikir. Ingat... jangan samakan kemampuan CPU komputer dengan kemampuan otak manusia.

Okay... kita teruskan lagi...

Adakah mata kita sentiasa boleh dipercayai? Apabila kita memerhati matahari, apa yang kita nampak bukanlah seperti yang kita sangkakan. Ini kerana cahaya matahari mengambil masa 8 minit untuk sampai kepada mata kita. Apa yang kelihatan di mata kita ialah apa yang telah berlaku 8 minit yang lalu. Benarkah begini? Lihat pula langit di waktu siang... ia kelihatan biru. Adakah langit memang berwarna biru? Lihat laut... ia juga kelihatan berwarna biru. Cedok air laut itu... oh... ianya jernih dan bukan berwarna biru. Bagaimana pula dengan Bumi kita... pada pandangan kita ia kelihatan datar. Adakah Bumi memang mendatar yakni bukan bulat? Macam mana pula dengan deria-deria kita yang lain... Adakah deria-deria kita yang lain pun sama juga tidak dapat dipercayai? Bagaimanakah kita nak tahu bila masanya deria-deria kita memberi maklumat yang betul dan bila pulak ia menipu kita? Tidakkah ini mengelirukan?

Tersebut al-kisah tentang Imam Syafi’e... suatu hari sedang beliau menunggang unta, sekumpulan pemuda telah menahan perjalanan beliau. Mereka selalu mendengar tentang reputasi Imam Syafi’e yang sangat berhati-hati dengan apa yang beliau katakan. Beliau tidak akan tergopoh-gapah di dalam perbuatan-perbuatan beliau terutamanya di dalam mengeluarkan pendapat tentang persoalan agama. Salah seorang pemuda pun bertanya... “Wahai Syafi’e, unta engkau ada berapa kaki?” Secara logiknya, kalau kita berada di dalam situasi Imam Syafi’e kita akan segera sahaja menjawab... “Unta aku ada 4 kaki la... korang buta ke?”. Tidakkah begitu? Akan tetapi lain pula halnya dengan Imam Syafi’e. Beliau amat berhati-hati dengan apa yang beliau ucapkan. Imam Syafi’e tidak segera menjawab soalan... beliau turun daripada unta dan mengira sambil memeriksa semua kaki unta beliau... setelah itu baru beliau menjawab... “Unta aku ada 4 kaki”. Seorang pemuda lain pula bertanya... “Mengapa engkau bersusah payah turun daripada unta semata-mata untuk memastikan ia benar-benar mempunyai 4 kaki?” Imam Syafi’e menjawab... “Aku tidak suka mengatakan sesuatu yang aku ragu-ragu mengenainya”.

Soalan cepumas: Berapa ramai di antara kita yang suka berbuat seperti kisah Imam Syafi’e ini? Berapa ramai pula di antara kita lebih suka memberi jawapan dengan membuat andaian sendiri apabila berdepan dengan sesuatu situasi? Membuat andaian tentu lebih mudah serta menjimatkan masa... bukan? Masih ingatkah kita dengan apa yang dibincangkan di dalam Part 1? Adakah kita suka dengan mengambil jalan mudah yakni mempercayai sahaja apa yang diberitahu oleh program-program televisyen serta radio, kandungan buku-buku, kandungan majalah-majalah serta suratkhabar hinggalah kepada sukatan pembelajaran di semua peringkat sekolah yang kita lalui? Patutkah kita percaya bulat-bulat dan apabila berdepan dengan sesuatu situasi... kita pun tergesa-gesa membuat andaian berdasarkan apa yang kita diberitahu dan apa yang kita diajar daripada saluran-saluran ini? Adakah kita suka untuk terus mempercayai apa yang kita lihat?

Hal yang dibincangkan di dalam Part 8 ini mungkin lebih pendek berbanding dengan bahagian-bahagian yang sebelumnya (Part 1 hingga Part 7). Namun, persoalan-persoalan di dalam Part 8 ini sebenarnya berat dan perlu difikirkan betul-betul terlebih dahulu sebelum kita bersedia untuk mencerna Part 9 dan seterusnya nanti. Peringatan: sewaktu berfikir... jangan pula lupa untuk mengawal emosi kita... seperti yang dijelaskan di dalam Part 6. Mungkin benar... “Ignorant is bliss” atau “tidak mengetahui adalah suatu keselesaan”. Akan tetapi... adakah anda suka menjadi “ignorant”?

Wassalam - zulsegamat